Sunday, January 31, 2010

PEMUDA PAS IKRAR KEMBALIKAN PERAK KEPADA PAKATAN RAKYAT

LARUT, 31 Jan: 10 ribu pemuda PAS Perak yang berhimpun di sini hari ini membuat ikrar janji akan memastikan Pakatan Rakyat mendapat kembali kerajaan negeri ini pada Pilihan Raya Negeri yang bakal diadakan.

"Bahawasanya kami pemuda PAS Perak dengan ini berikrar setia dan berjanji akan mempertahankan hak demokrasi tulen pengundi-pengundi Perak.

"Bahawasanya kami akan memastikan kemenangan PAS dan Pakatan Rakyat dalam Pilihan Raya negeri Perak.

"Bahawasanya kami akan memulangkan tampuk pemerintahan negeri Perak kepada Pakatan Rakyat di bawah pimpinan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin".


Bacaan ikrar tersebut diketuai pemangku ketua pemuda PAS, Nuru Al-Amin diikuti seluruh pemuda PAS Perak di hadapan Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasruddin Hassan dan Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub.

Ianya sekaligus membuktikan kesiapsediaan jentera pemuda menggalas tugas parti dalam misi mengembalikan hak dan maruah rakyat negeri ini.

Nasruddin dalam ucapannya sebelum itu memberikan kata-kata semangat kepada seluruh jentera pemuda PAS Perak agar melakukan persedian mental, fizikal dan rohani berdepan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu.

"Soal tarikh Pilihan Raya soal kedua, yang penting pemuda PAS sedia bila-bila masa.

"Kita kena yakin, kemenangan adalah kurnian Allah SWT, oleh itu hubungan kita dengan Allah jangan sesekali retak, jangan sesekali putus," katanya.

Namun jelasnya apa yang lebih penting adalah tugas pemuda berdamping setiap anak muda di semua peringkat termasuk Dun, kawasan mahupun cawangan.

Tugas pemuda bukan sekadar memenangkan Pakatan Rakyat, malah lebih besar dari tu adalah menyampai dan menerangkan dasar Islam yang diperjuangkan PAS.

"Gerakkan komitmen semaksima mungkin, hidupkan jentera kita di semua peringkat sama ada cawangan, Dun, kawasan mahupun negeri.

"Kita kena cipta pelbagai aktiviti untuk bersama dengan anak muda," katanya lagi.

Tugas tersebut jelasnya adalah tanggungjawab semua ahli pemuda tanpa mengira pangkat dan jawatan yang dipegang.

"Saya harap tiada siapa yang mengecualikan diri dari amal Islami ini.

"Ayuh kita memberikan sumbangan, pengorbanan kepada perjuangan agama Allah ini untuk kebaikan umat Islam dan rakyat di negeri Perak ini," katanya.


dipetik dari : http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=24647:pemuda-pas-ikrar-kembalikan-perak-kepada-pakatan-rakyat&catid=41:utama-muka-depan&Itemid=125

0 comments:

Related Posts with Thumbnails